Tuesday, January 29, 2013

Diari Semalam

Assalamualaikum wrh wbt...



Menarik bukan tajuk post kali ini? Seolah-olah tajuk novel jiwang yang agak cliche yang pernah menyebabkan banyak air mata tumpah dek terlalu taksub membacanya. Tapi kalau sekiranya benar mahu diperhatikan, semalam adalah ruang waktu yang selalu berlalu begitu sahaja. Terbiar tanpa dimuhasabahi dan diperhalusi agar pisang tidak berbuah dua kali. Pernahkah kita terfikir sudah berapa banyak kelas-kelas 'semalam' yang telah berlalu sia-sia? Tanpa kita kisah untuk mengambil pelajaran daripadanya langsung dituai menjadi buah amal bagi memperbaiki hari esok?

Ya, semalam itu sepatutnya dibukukan menjadi sekeping diari. Yang mana sekiranya kita punya kesempatan dan kesenggangan kita pasti akan membelek-belek halaman demi halaman. Namun kapasiti memori yang penuh keterbatasan tak memungkinkan kita memuhasabah balik ke 100 hari sebelum hari ini. Jadi, apakah yang pasti? Pastikan muhasabah diri itu menjadi wajib laku diri sebelum mata terpejam, sepenting memakan sarapan pagi dan menggosok gigi. Andai ini tidak berlaku, masakan ada hadis yang mengatakan bahawa orang yang cerdik itu ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan besok akan lebih baik daripada hari ini?

Mari kita cari dan gali siapakah kita pada hari semalam. Seorang hamba yang masih culas dalam solatnya. Seorang anak yang masih meninggikan suara pada ibunya. Seorang sahabat yang masih cepat terasa dan masih dibelenggu luka lama. Seorang pekerja yang gagal mengatur masa lagi berkira-kira akan jumlah kerja yang perlu dilakukannya. Seorang muslim yang belum menyerahkan diri sepenuhnya. Seorang daie yang tak terlihat dan tersedar akan orang sekeliling akan kewujudannya! Sesungguhnya manusia itu bersifat terburu-buru.

Sehingga ke suatu saat, kita semakin tersibghah atau tercelup dengan kondisi diri kita yang lama. Mungkin kerana kita kurang mengenali diri sendiri lantas kurang sensitif pada titik kelemahan diri yang sepatutnya diatasi dan diperbaiki. Kadangkala pula kita rasa kita seolah-olah tahu bahawa kita memiliki kelemahan-kelemahan ini, berasa kurang selesa dan terseksa dengannya akibat fitrah diri kita yang sememangnya sukakan kebaikan dan kesempurnaan, dan cepat-cepat mahu keluar darinya. Tapi, apabila toleh kiri, toleh kanan, pandang atas dan bawah, kita rupa-rupanya masih lagi di takuk yang lama. Baru sahaja keazaman untuk berubah membara-bara, namun tiupan angin lintang syaitan lebih kuat putarannya. Kita memilih untuk tidak berbuat apa-apa kerana merasa selesa dengan orang sekeliling sudah terbiasa dengan penampilan kita yang sedia ada! Mana mungkin menentang arus bisa lurus?

Masih ingatkah lagi hadis ghuraba' - Islam itu datang dalam keadaan yang dagang, dan akan pergi dalam keadaan dagang. Maka beruntunglah orang-orang yang dagang."

Malu? Malas? Takut? Untuk melakukan perubahan itu. Malu kerana orang sekeliling pasti akan membandingkan perubahan kini dengan keadaan sebelumnya. Tak kurang juga yang menanti kita menamatkan eksperimen perubahan ini dengan gaya hangat-hangat tahi ayam. Ada juga yang memerhati sejauh dan selama mana kita mampu bertahan dengan perubahan yang dibawa. Tapi jangan bimbang! Kerana teruskanlah berjalan atas dua kaki sampai ke akhir destinasi walaupun kamu seorang diri. Kerana yang berjalan atas dua tangan itu mungkin nampak benar dalam keramaiannya namun mereka pasti akan tergolek jatuh satu masa nanti kerana keramaian sama sekali tidak membenarkan, lagipun tangan bukan direka untuk berjalan menampung berat badan, bukan?

Malas mahu berfikir sekiranya diasak dengan soalan cepumas yang bertubi-tubi. Malas membaca menambah pengetahuan yang sedia dangkal. Malas mengfollow-up orang-orang yang mungkin terkesan dengan bicara yang kita cuba cetuskan. Malas membuat kerja-kerja tambahan apabila merasakan kerja semasa yang dilakukan sekarang sudah melebih daripada cukup? Maka jadilah kita persis seorang bos yang merasakan dirinya yang paling penting dan perlu diikuti telunjuknya oleh orang bawahan! Lebih dahsyat sekiranya kita merasa takut diasak tentangan yang tak semena-mena, hilang kawan kebiasaan dan banyak lagi ketakutan.

Kerana itu jugalah butir bicara hati para nabi. Kerana tiada sesiapa yang memulakan larian di trek dakwah dan tarbiyah ini dengan pakej kesempurnaan. Si yatim Rasulullah bukanlah seorang malaikat bahkan seorang manusia yang memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Nabi Yunus pernah melarikan diri dari kaumnya sehingga bermastautin berbulan-bulan lamanya dalam perut ikan Nun dek hatinya terlalu hancur melihat kekafiran mereka. Nabi Musa sendiri pernah membunuh seorang rakyat di bawah naungan Firaun, petah lidahnya yang kurang fasih bahkan pernah merengguk kasih sebagai seorang anak di saat bayinya di bawah jagaan Firaun dan Asiah. Semua ini tampak lemah di mata manusia, tapi ingat, belum tentu begitu di mata Allah asal sahaja Allah itu sahaja satu-satunya yang kita dambakan dalam hati.

Kita tahu kita lebih baik kerana wujudnya suatu perbandingan. Andai semalam tidak pernah muncul, masakan hari ini boleh bermula dan diteruskan. Jadi, bukankah sangat besar urgensi kepada diari semalam? Lebih besar lagi untuk memastikan diari semalam dan hari ini bukan diulang cetak begitu sahaja! Mari kita belek diari kehidupan, buka muka surat esok hari, sila tulis bagaimana kita mahu menjadi pada besok hari berdasarkan hari ini, semalam dan hari-hari yang telah berlalu pergi.











Monday, November 26, 2012

Sang Syahid dan Bapa Kepada Sang Syahid


Mari bertaaruf dengan seorang sahabat ini. Kisahnya kaya dengan muatan yang meruntun jiwa, memperkasa minda. Kerana seorang daie itu tidak akan membaca kisah-kisah sekadar buat halwa di telinga, tapi untuk diperah habis-habisan patinya supaya dapat dibumikan dalam gerak kerja.

Bismillah. Mari kenali Thufail bin Amru Ad-Dausi.

Seorang pembesar kaum Daus di Tanah Arab yang disegani, Thufail juga punya logamnya yang tersendiri. Berpuisi. Ya, dia gemar berpuisi, bahkan dianugerahi Allah dengan kehebatan bermain dengan susunan puitis kata-kata. Dan dari nikmat Allah ini jualah, dia beroleh kefahaman dalam Islam. Dan sudah semestinya Rasulullah sebagai dang daie agung telah lama mentancapi kelebihan ini dalam diri Thufail. Sebagaimana Thufail ini sememangnya ahli dalam madah puisi, maka pasti itu jualah kunci untuk masuk ke dalam pintu hatinya. Didekatinya Thufail dengan bacaan indah Al-Ikhlas dan Al-Falaq, suatu madah yang tidak pernah menyinggahi telinga Thufail sehingga dia terkesima dan melafazkan syahadah. Walhal sebelum-sebelumnya Thufail sungguh-sungguh cuba menjauhi Rasulullah sehingga menyumbatkan kapas ke dalam telinganya, bimbang-bimbang perkataan Rasulullah meracuni pemikirannya.

Tetapi itulah kefahaman Islam yang sebenar. Sesiapa yang melafazkan syahadah secara automatiknya merasakan tanggungjawab syahadah yang terkemban bersamanya. Tidak perlu diajar-ajarkan lagi. Lihat sahaja Thufail sebaik sahaja melafazkan syahadahnya. Dengan kesedaran bahawa Islam itu untuk dikongsi bukan buat simpan sendiri, Thufail membuat keputusan untuk tinggal selama beberapa ketika di Mekah untuk berguru dengan Rasulullah sehingga tiba masanya untuk dia pulang kepada kaum Daus mendakwahi mereka. Walaupun ayah, isteri dan Abu Hurairah sahaja yang menyahut seruannya. Bukan seperti kita di zaman yang serba canggih dan penuh dengan ilmu pengetahuan yang tinggi. Rupa-rupanya kalimah syahadah itu perlu diajarkan dan didaurahkan untuk diterangkan bagaimana beramal dengannya dan dijadikan persaksian, bukan sekadar buat ulang-ulang dalam solat lima waktu sambil menaikkan jari telunjuk semata!

Seorang daie itu membina mutarabbinya dengan penuh hati-hati dan sungguh-sungguh. Ibarat menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung pula jangan berserakan. Kerana angan-angannya berkata, mutarabbi ini perlu jadi sama baik atau jauh lebih dari aku! Maka dengan misi dan visi besar yang telah dilakar, usahanya ditebar. 'Amr bin Thufail yang syahid dalam Perang Yarmuk, telah lama berambisi syahid, sejak dari perang Yamamah lagi apabila melihatkan kepala bapanya, Thufail dipenggal ketika itu. Malah tangan kanannya telah 'syahid' bersama jasad bapanya yang tercinta ketika dalam perang Yamamah juga, meninggalkan tubuhnya yang lain untuk menuju ke syurga. Jadi resepi apakah yang diramu oleh Thufail dalam mempersiap anaknya menjadi seorang perajurit agama?

Thufail...daie mana yang tak merindunya?













Monday, August 6, 2012

Dendang Perantau ~

Assalamualaikum wrh wbt. InsyaAllah post saya yang pertama. Pertama apabila saya sudah buat keputusan untuk stay anonymous. Mungkin adalah kerana saki baki jahiliyah ego yang masih bersisa dalam diri ini. Er. Yang itu saya perlu perbaiki. Tapi buat masa ini saya selesa begini. Kerana saya punya keinginan yang menggerbang-gerbang untuk berkongsi apa yang saya pelajari dalam kehidupan sehari-hari yang sayang jika tak ditadabbur buat bekal kemudian hari. Sekurang-kurangnya untuk tatapan diri sendiri di kemudian hari, kerana saya mahu jadi seorang muslim itu takkan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali.

 Besok bermulalah perjalanan saya ke kursus induksi. Doakan saya untuk meluruskan niat saya selurus rambut gadis Rejoice, walaupun awak tak menutup aurat, huh. Dan minggu depan insyaAllah dah masuk kerja, iaitu sebelum raya. hehs. sekian.

 Oh ya, saya bakal bergelar doktor pelatih in 1 week time. Suatu kehidupan yang saya tak pernah terbayang doktor jenis apakah saya bakal menjadi. Teringat saat-saat menjadi pelajar perubatan, secretly menilai-nilai dan mengobserve doktor-doktor pelatih yang ada di hospital. Dan secretly juga menyimpan senarai hitam putih doktor manakah yang saya mahu jadi dan doktor manakah yang saya mahu jauhi! Ya, sayalah orang itu yang pernah bercita-cita untuk menjadi doktor sejak darjah 1 kelas 1 Biru kerana konon-kononnya mahu menolong orang yang dalam kesusahan padahal bukankah jadi doktor itu untuk orang bijak dan result chantek macam saya, lagipun jadi doktor itu banyak duit lagi bergaya! (ha, kantoi di situ niat hati saya yang entah apa-apa)Dan setelah bersetuju untuk memastatutinkan kedua-dua belah tapak kaki ke dalam dakwah dan tarbiyah ini, saya mula kenal kenapa saya dihantarkan ke dunia ini. YA, SEBAGAI ABID DAN KHALIFAH DI BUMI-NYA! 

Dan saya mula merasa bibit-bibit kelemahan dan kelemauan tatkala berhadapan dengan suasana study yang semakin tough. Saya mula rasa menyesal memilih jalan ini. Saya mula nampak apa yang dikata-katakan orang bahawa jadi doktor ni belajar susahla, lambat kaya la, asyik kena marah la, terlalu banyak warna dan ragam memilih kerjaya ini. Tapi, nasib baik, alhamdulillah syukur kerana Allah telah mengterserempakkan saya dengan DnT ini. Kerana dengan sebab yang sama, iaitu untuk menyarung jersi ABID dan KHALIFAH ini, maka saya memilih untuk terus kuat berdepan dengan angin lintang (awas!) yang bakal melintangpukangkan kehidupan saya. 

 Maka kini saya sering tersenyum simpul apabila orang memanggil saya doktor. Bukan bangga hidung kembang kempis menahan gelora riyak, tetapi kerana di sebalik panggilna doktor aka Dr itu, terselit satu makna. DR = Daie Rabbani. Yang itu saya nak jadi. 

 Lantaran cuak akan belahan halilintar bak desas-desus mantan doktor pelatih, maka saya telah memilih untuk bekerja di satu kawasan X ini. Apa lagi jika bukan kerana takut akan virus futur melanda diri. Tetapi saya sudah silap. Saya tidak silap apabila menulis hospital X sebagai hospital pilihan, tetapi saya telah tersilap langkah apabila saya dengan yakinnya merasakan bahawa dengan bekerja di hospital X maka saya akan terus tsabat di jalan ini. Sudah bertahun-tahun berada dalam DnT tetapi seolah-olah baru semalam saya belajar satu perkara - TAWAKKAL. Hakikat yang perit bukan, apabila kita berkisah dan berdendang tentang konsep qadak dan qadar dalam kuliah online, tetapi kita sendiri belum cukup tawakkal dengan takdir yang telah dituliskan pada kita lebih 1000 tahun yang lampau? Wah, itu makcik jual karipap di bazar Ramadhan mungkin lebih settle daripada saya! 

 Seorang akhawat berkongsi resepi kelapangan hidupnya, iaitu apabila dia BERHIJRAH KERANA ALLAH DAN RASULNYA. Oh saya rasa bagai mata berpinar-pinar dan pandangan menjadi gelita kerana itu adalah hadis 1 yang saya kenal semasa tahun pertama dalam DnT, wahah! Ya, jadi sempena minit-minit berharga bulan Ramadhan ini, saya tidak mengajak anda untuk menyanyikan karaoke lagu Dendang Perantau. Tapi saya mahu kongsikan 2 perkara, tahu? Iaitu tawakkal sebagaimana saya mahu tawakkal dan senyum pipi merah jambu apabila mendapat tahu pada malam besok di bumi mana Allah bakal mencampakkan saya untuk bekerja sebagai satu perancangan yang terbahekkk dariNya untuk saya. Dan saya mahu berkata dalam hati kecil "Inilah apa yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya," sebagaimana lintasan hati tentera Muslimin ketika berhadapan dengan jundiy-jundiy Ahzab dalam fenomena Khandak. Dan yang kedua semestinya, saya mahu ajak anda menjadi perantau aka penghijrah, hanya kerana Allah dan rasulNya. Hanya kerana mereka sahaja, tahu? Jangan ada sekutu. Kerana penghijrahan itu bukan hanya fizikal, tapi juga hati nurani, perangai masyaAllah anda itu. Saya akan berhijrah secara fizikal kali ini, tapi saya nak doa Allah selalu Layangkan kilat sabung-menyabung hidayahNya pada hati saya supaya hati saya dapat terus travel dalam pada mengharungi gelombang naik turunnya iman. Jangan hanya jadi perantau yang berdendang saja, lemas dan luput segalanya!